Bayar Juadah Guna E-dompet

 

Ketua Pegawai Eksekutif TNG Digital Sdn Bhd, Syahrunizam Samsudin, berkata platform digital lebih mudah digunakan malah menggalakkan orang ramai tidak membawa wang tunai untuk membeli-belah, termasuk membeli makanan.

“Alhamdulillah setakat ni kira-kira 350 peniaga bazar mendapatkan kod imbas qr dari Touch 'N Go (TnG) secara percuma sekali gus menggalakkan pengguna beralih kepada ‘kashless’.

“Justeru dengan e-dompet, peniaga boleh menguar-uarkan kepada pengguna supaya menggunakan transaksi tanpa tunai. Tambahan pula, destinasi bazar ini mempunyai tarikan tersendiri, iaitu bazar bandar dalam bandar, kekal dengan keadaan asal tanpa berubah mengikut kemodenan,” katanya.

Pelancaran #rayasempoi dengan TnG di bazar Ramadan Kampung Baru dan pelancaran rasmi Halaman Sempoi berlangsung di Rumah Warisan Kelab Sultan Suleiman, hari ini.

Hadir memeriahkan pelancaran, puteri Sultan Selangor, Tengku Zatashah Sultan Sharafuddin Idris Shah, yang giat dengan kempen #sayNoto2plastic yang dicetuskan sejak 2016.

Syahrunizam berkata, Kampung Baru contoh terbaik bagi mempromosikan tempat warisan dengan teknologi.

“Teknologi dan e-dompet ini semakin berkembang yang membolehkan orang ramai meluangkan masa termasuk berbuka puasa, kerana ada tempatnya untuk orang berkumpul bersama-sama, selepas membeli juadah di bazar.

“Kita mengadakan perbincangan dengan Kelab Sultan Suleiman dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) bagi menjayakan program ‘kashless’ ini, selain berjumpa golongan peniaga untuk bersama memainkan peranan mereka.

“Setakat ni, keselamatan e-dompet ini pada tahap terbaik kerana setiap transaksi memerlukan nombor pin dan ketika ini sudah ada 3.6 juta pengguna yang menggunakan e-dompet di plaza tol dan pengangkutan awam,” katanya.

Sementara itu, Tengku Zatashah berkata, kempen SayNo2plastic yang dimulakan sejak 2016 mula menampakkan hasil apabila pengunjung bazar mula membawa bekas makanan sendiri seperti bekas air, penyedut minuman dan mangkuk tingkat.

“Ini sekali gus menunjukkan masyarakat mula mempraktikkan inisiatif itu dan itu menandakan sokongan positif terhadap usaha mengurangkan penggunaan plastik dan pembaziran makanan.

“Misalnya tahun lalu, kira-kira lima tan makanan ketika bulan Ramadan memanfaatkan kira-kira 20,000 orang yang memerlukan,” katanya.